Thursday, May 6, 2010

Cerita Si Bulat


Cerita Si Bulat...


Ini ada satu cerita. Cerita mengenai seorang budak bernama Fatimah yang dipanggil Si Bulat. Ia dipanggil Si Bulat kerana badannya bulat, matanya bulat, hidungnya bulat dan mukanya juga bulat. Ia tinggal di sebuah kampung yang aman, cantik dan bersih. Semua keluarga dan jiran-jiran suka kepadanya.

Si Bulat merupakan seorang budak yang baik, comel dan jujur. Ia juga seorang budak yang lurus bendul.

Suatu hari Si Bulat berasa lapar dan meminta roti dari ibunya.


"Ibu! ibu! Saya lapar. Saya nak roti ibu,"kata Si Bulat kepada ibunya.

"Roti dah habislah Si Bulat,"kata ibunya pula.

"Saya nak roti juga ibu, saya laparlah," kata Si Bulat lagi.


"Baiklah, kalau Bulat nak roti juga, Bulat ambillah duit ini dan pergi sendiri ke kedai."Balas ibu Si Bulat kemudian.


Si Bulat pun mengambil duit dari ibunya dan berjalan ke kedai. Ia berjalan terkedek-kedek kerana badannya yang bulat itu. Sambil berjalan sendirian Si Bulat menyanyi-nyanyi kecil sendirian...



"Lagu tiga kupang,

saku penuh padi,

datang burung hitam,

pagut batang hidung, dung, dung."






"Dayang tepi kolam,

sedang jemur tepung,

suri dalam dapur,

makan roti gula, la, la, la.

Laa..Laa..Laa..."





Si Bulat berasa sangat gembira dan terus berjalan dengan laju ke Kedai Pak Amat. Apabila sampai di Kedai Pak Amat, Si Bulat terus membeli roti dari Pak Amat.
"Ini duitnya Pak Amat,"kata Si Bulat ketika membayar kepada Pak Amat.

"Terima kasih, Pak Amat jual Bulat,"kata Pak Amat kemudian.


"Jalan baik-baik,"sambung Pak Amat kemudian.


Si Bulat pun terus berjalan pulang. Dalam perjalanan pulang Si Bulat berpantun pula.




"Buah cempedak di luar pagar,

ambil galah tolong jolokkan,

saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan."

Buah cempedak

"Kera banyak sedang berhimpun,
sandarkan galah pada pohon,

segeralah kita minta ampun,
kepada Allah tempat bermohon."



"Anak ayam turun sepuluh,

mati seekor tinggal sembilan,

marilah kita minta ampun,

kepada tuhan tempat bermohon...."







Si Bulat berjalan dengan gembira. Kadang-kadang ia tersenyum-senyum kerana membayangkan kelazatan roti inti kelapa yang dibelinya di kedai tadi. Tiba-tiba Si Bulat dikejutkan dengan bunyi salakan anjing yang sangat kuat. Si Bulat lihat seekor anjing hitam yang besar dan garang sedang menyalak dan berlari ke arahnya. Si Bulat berasa sangat takut dan berlari dengan sekuat hatinya. Plastik roti terlepas dari pegangan tangannya. Roti bertaburan di atas jalan. Si Bulat terus berlari tanpa berpatah balik untuk mengambil rotinya kerana ia sangat takut dan rotinya juga telah kotor.



Akhirnya Si Bulat selamat sampai di rumah. Si Bulat menangis teresak-esak di laman rumahnya. Ibunya yang sedang menyapu sampah di rumah terus bertanya kepada Si Bulat.


"Kenapa ni.. Si Bulat, kenapa pula menangis,"tanya ibunya risau.


"Roti saya dah jatuh, ibu. Tadi semasa saya berjalan balik, ada seekor anjing garang mengejar saya. Saya berlari dengan kuat dan plastik roti saya jatuh di atas jalan." Terang Si Bulat kepada ibunya.


"Ooo," kata ibunya sedih.


"Tak palah Si Bulat ibu ada masak cucur udang, nanti kita makan bersama-sama," tambah ibunya kemudian.


Ibu dan Si Bulat berpimpin tangan masuk ke rumah. Sambil makan cucur udang panas yang sedap ibu menasihat Si Bulat.





"Bulat kalau Bulat berlari dengan laju, Bulat mestilah pegang plastik tu dengan kuat, barulah ia tak mudah jatuh."


"Yalah ibu," kata Si Bulat. Si Bulat memang anak yang baik dan suka mendengar nasihat ibunya kerana ia amat percaya dan sayang kepada ibunya.

Keesokan harinya, selepas bangun dari tidur Si Bulat terus menggosok gigi dan mandi di perigi belakang rumahnya. Sekali-sekala Si Bulat suka mandi di perigi kerana airnya yang sejuk. Selepas selesai mandi dan memakai baju Si Bulat berasa sangat lapar. Ia bergegas ke dapur untuk makan sarapan pagi. Ibunya menyediakan sepinggan nasi goreng. Tetapi tiada telur goreng dadar seperti biasa. Si Bulat memang suka makan telur dadar goreng. Kebiasaannya ibu akan menggorengkan telur dadar tiap-tiap pagi. Si Bulat terus tidak berselera makan kerana melihat tiada telur goreng di dalam hidangannya.

Si Bulat terus memanggil ibunya dan bertanya, "ibu kenapa tiada telur goreng pagi ni?"

Ibu Bulat menjawab, "Laa Si Bulat, telur kita dah habis lah. Ibu buat kek tadi dan telah habis gunakan telur."


"Bulat nak telurlah juga ibu," kata Si Bulat lagi.

"Kalau macam tu Bulat pergilah beli ke kedai sekejap, nanti ibu boleh gorengkan." sahut ibu sambil membasuh pinggan di dapur.

"Baiklah, " kata Si Bulat sambil meluru ke luar rumah untuk ke kedai.

Di pertengahan jalan, Si Bulat berjumpa dengan kawannya Si Mimi. Si Bulat gembira kerana Si Mimi yang tinggal di sebelah rumahnya juga hendak ke Kedai Pak Amat. Mereka berjalan bersama-sama dengan gembira.


Apabila sampai di kedai, Si Bulat membeli sepuluh biji telur ayam dan segera berjalan pulang kerana perutnya sudah berasa lapar. Si Mimi juga ikut balik bersama Si Bulat selepas membeli sedikit gula-gula untuk adiknya.


Tiba-tiba Si Bulat dan Si Mimi bertembung dengan anjing hitam yang garang semalam. Anjing hitam itu terus menyalak dengan kuat apabila ternampak sahaja Si Bulat dan Si Mimi. Mereka berdua sangat takut dan terus berlari dengan lajunya. Semasa berlari, Si Bulat teringat pesan ibunya dan terus memegang plastik telurnya dengan kuat dan mendakapkannya ke dadanya. Si Bulat dan Si Mimi terus berlari dengan laju dan sampai di rumah dengan selamat.

Tetapi Si Bulat berasa hairan kenapa bajunya berasa basah dan badannya pula berasa sejuk. Apabila melihat badannya, Si Bulat berasa sangat terkejut dan sedih kerana kesemua telur yang dibelinya telah pecah dan bajunya juga telah basah kuyup. Si Bulat terus menangis dengan kuat di luar rumahnya. Ibu yang mendengar tangisan Si Bulat bergegas mendapatkan Si Bulat.

"Kenapa ni Si Bulat, ya Allah basah semua baju Si Bulat'" kata ibu terkejut melihat yang baju Si Bulat sudah basah dan berbau hanyir dengan telur pecah yang meleleh keluar dari beg plastiknya.

"Saya pegang plastik ni kuat-kuat seperti yang ibu suruh semalam, akhirnya semua telur pecah." Kata Si Bulat teresak-esak.

Ibu faham apa yang terjadi dan memujuk Si Bulat dan membawa Si Bulat ke bilik air untuk membasuh badannya. Si Mimi diam kerana terkejut dan sedih melihat Si Bulat. Si Mimi seterusnya memberikan gula-gula kepada Si Bulat. Si Bulat berasa sedikit selesa dan mengucapkan terima kasih kepada Si Mimi.

Ibu menelefon ayah Si Bulat supaya membeli telur ayam apabila pulang dari sekolah tengahari nanti.


Ibu memasak telur dadar untuk hidangan tengahari mereka. Si Bulat makan telur dadar dengan berselera sekali. Ayah dan ibu tersenyum melihat Si Bulat. Semasa Si Bulat berehat selepas kekenyangan makan, ayah menasihat Si Bulat.







"Bulat, kita mesti berfikir dengan baik sebelum melakukan sesuatu perkara. Jika kita berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, kita boleh elakkan kesalahan atau masalah."

Dengan tersenyum Si Bulat menjawab, "Ya, ayah saya dah belajar banyak dalam dua hari ini. Saya akan menjadi seorang budak yang bijak dan rajin berfikir mulai sekarang."

Ibu dan ayah berasa gembira dan berharap Si Bulat akan menjadi seorang budak yang bukan sahaja baik malah pintar dan rajin berfikir. Hidup tanpa berfikir membawa kepada kerugian.

-TAMAT-
Related Posts with Thumbnails