Showing posts with label Memupuk Kasih...Mencari Cinta Illahi.... Show all posts
Showing posts with label Memupuk Kasih...Mencari Cinta Illahi.... Show all posts

Saturday, June 19, 2010

KISAH CINTA NABI SAW


KISAH CINTA NABI SAW :

TIDAK BERSALAH TETAPI MINTA MAAF

Setiap manusia pasti akan melakukan kesilapan. Kesilapan itu, sama ada melibatkan kepada dosa atau tidak melibatkan kepada dosa. kesilapan yang melibatkan kepada dosa, mewajibkan orang tersebut bertaubat kepada Allah.

Nabi SAW juga ada melakukan kesilapan. Kesilapan Nabi itu tidak melibatkan kepada dosa, malahan terus ditegur oleh Allah SWT.

Lihatlah teguran yang Allah berikan kepada Nabi SAW menerusi surah ”Abasa”, ekoran kesilapan nabi SAW yang melayan pembesar-pembesar Quraish dengan harapan mereka beriman dengan Allah tanpa melayan kehadiran seorang sahabat buta yang bernama Abdullah bin Ummi Al-Makhtum.

Amat nyata, Nabi SAW juga melakukan kesilapan, tetapi kesilapan itu tidak melibatkan kepada dosa, disamping tidak mencacatkan kenabian Nabi Muhammad SAW.

Kadangkala, dirasakan sesuatu tindakan itu bersalah kepada individu-individu tertentu, walaupun ianya sebenarnya tidak salah disisi Allah SWT.

Keadaan ini menimpa sendiri kepada diri Nabi SAW yang telah mengkritik terhadap tindakan para yahudi, sedangkan dalam masa yang sama, antara isteri Baginda adalah seorang perempuan yang asalnya beragama yahudi, tetapi memeluk islam, disamping bapanya pula masih lagi dengan agama lamanya.

Bapa Sofiyyah yang bernama Huyay bin Akhtab adalah pembenci utama terhadap Nabi SAW dari yahudi Kabilah Bani Nadhir. Berbagai-bagai tindakan yang dilakukan oleh beliau terhadap Nabi SAW. Beliau sering menyakiti hati Nabi SAW sehingga tindakan itu boleh disifatkan sebagai melampau.

Tindakan Huyay bin Akhtab itu menyebabkan nabi SAW bertindak mengkritik, sedangkan kritikan nabi itu didengari oleh anak Huyay yang merupakan Isteri Nabi SAW.

Mungkin hati Sofiyyah terluka?? Itu tidak dipastikan. Tetapi, bimbang ianya terluka, maka Nabi SAW menyediakan pencegah luka, agar luka itu tidak benar-benar terluka.

Sofiyyah ada bercerita;

ما رأيت قط أحسن خلقا من رسول الله صلى الله عليه وسلم ، لقد رأيته ركب بي من خيبر على عجز ناقته ليلا ، فجعلت أنعس فيضرب رأسي مؤخرة الرحل ، فيمسني بيده ويقول : « يا هذه مهلا يا بنت حيي » ، حتى إذا جاء الصهباء ، قال : « أما إني أعتذر إليك يا صفية مما صنعت بقومك ، إنهم قالوا لي كذا وكذا »

Maksudnya;
"Aku tidak pernah melihat manusia yang boleh mengatasi kebaikan akhlak Nabi Saw.
Aku menunggang kenderaan unta pada satu malam bersama Baginda.
Aku ketika itu terlalu mengantuk menyebabkan kepalaku tersengguk-sengguk.
Lalu, Baginda SAW menyentuhku sambil berkata;
"Wahai orang ini. tahan sedikit wahai anak perempuan Huyay (jangan cepat mengantuk). Apabila sampai di As-Sohba’, baginda berkata;
"aku minta maaf dari kamu wahai Sofiyyah daripada apa yang
aku lakukan terhadap kaum kamu.
Sesungguhnya, mereka berkata kepadaku begian begian...[1]”


Sudah nyata lagi jelas, tidak ada kesalahan kita mengkritik yahudi. Ajaran Al-Quran amat terang, bagaimana kritikan terhadap yahudi adalah sesuatu yang diizinkan. Bermakna, tindakan Nabi SAW adalah perkara yang tidak salah disisi Allah.

Pun begitu, bimbang hati Sofiyyah terluka ekoran tindakan Nabi mengkritik kaumnya, menyebabkan Nabi SAW memohon maaf terhadap Isterinya, agar, akan terubatlah luka jika ianya terluka. Atau menyelamatkan hati itu dari terluka, jika ianya belum terluka.

Meneliti kepada hadis ini, ada dua dan tiga perkara yang boleh kita pelajari demi mencapai kehidupan bahagia antara suami dan isteri. Antaranya adalah dengan menaiki kenderaaan bersama-sama. Juga, sering menjaga perasaan isteri agar ianya tidak terluka, walaupun kadangkala sesuatu tindakan kita itu sememangnya benar, atau semenangnya tindakan isteri kita itu memang salah.

Tegur kesalahan Isteri adalah wajib, jika tidak, pasti bengkok tulang rusuk semakin menjadi-jadi. Pun begitu, teguran yang dilakukan hendaklah berhikmah. Penuh dengan segala kebijaksanaan, agar tulang yang bengkok itu walaupun tidak berjaya diluruskan, tetapi sekurang-kuranya tulang yang bengkok itu tidak semakin bengkok.

Lihatlah Nabi SAW menerusi hadis ini. walaupun Baginda SAW melakukan satu tindakan yang tidak salah disisi Allah, bahkan tindakan itu adalah satu kebenaran, tetapi tetap meminta maaf kepada Sofiyyah, kerana bimbang hati Sofiyyah terluka.

Hati bila terluka, amat susah untuk diubati. Jika ianya berjaya diubati, dibimbangi melahirkan parut yang menjadi kenangan. Yang lebih bimbang, jika parut itu berdarah semula. Inikan pula hati perempuan yang diciptakan Allah dengan ciri-ciri kelembutan.


Semoga dengan pengisian ini boleh menjadi pengajaran utk kita semua dan semakin menghargai dan menjalani kehidupan dengan lebih baik....Amin....


Sumber dari ;

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
Nukilan,
Zisma 10.40 a.m. 280610

KISAH CINTA NABI S.A.W

KISAH CINTA NABI S.A.W.


GEMBIRAKAN ISTERI YANG SEDIH

Perasaan sedih dikala tidak dapat melakukan sesuatu, atau tidak mendapat apa yang diinginkan adalah perkara lumrah yang wujud dalam diri setiap makhluk yang bernama manusia. cumanya, cara manusia menghadapi sedih itu tidak sama. Menangis, masam muka, memberontak dan berbagai-bagai lagi cara manusia menghadapi kesedihan.

Kebiasaan bagi perempuan, apabila mereka ditimpa sesuatu kesedihan, antara cara yang digunakan oleh mereka adalah dengan menitiskan air mata. Bermakna, air mata merupakan antara cara bagi perempuan menterjemah bagi kesedihan yang sedang dialami mereka.

Ini bukan bermakna, kaum lelaki tidak menangis di kala sedang bersedih. Tetapi, Keadaan ini berlaku kepada perempuan, disebabkan mereka dihadiahkan oleh Allah jiwa dan hati yang tidak sama dengan kaum lelaki. Hati dan jiwa yang dipenuhi kelembutan, disamping fitrah ketetapan dari Allah bahawa orang perempuan mempunyai sifat sedemikian.

Selalunya, apabila perempuan bersedih, mereka sebenarnya tidak menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang sedang menimpa. Ekoran itu, mereka meluahkan perasaan sedih itu melalui menangis.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah tersebut, hendaklah diberikan jalan penyelesaian bagi meringankan atau menghilangkan terus perasaan kesedihan tersebut.

Jika diperhatikan kepada Hadis, didapati Rasulullah SAW menggunakan kaedah ini dalam mengembirakan hati isteri dikala mereka sedang bersedih.

Ini dapat dibuktikan dengan satu hadis riwayat Jabir bin Abdillah R.A yang berkata;

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَّاجًا لَا نُرِيدُ إِلَّا الْحَجَّ وَلَا نَنْوِي غَيْرَهُ حَتَّى إِذَا بَلَغْنَا سَرِفَ حَاضَتْ عَائِشَةُ فَدَخَلَ عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ تَبْكِي فَقَالَ مَا لَكِ تَبْكِينَ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَابَنِي الْأَذَى قَالَ إِنَّمَا أَنْتِ مِنْ بَنَاتِ آدَمَ يُصِيبُكِ مَا يُصِيبُهُنَّ

Maksudnya;


"Kami keluar bersama Rasulullah untuk menunaikan haji.
Kami tidak mempunyai tujuan lain, melainkan ketika kami sampai di ”Sarif”.
Di sana, Aisyah telah kedatangan Haid. Rasulullah SAW masuk berjumpa dengan Aisyah, didapati beliau sedang menangis.
Baginda bertanya; "mengapa kamu menangis?” Aisyah menjawab;
"Aku didatangi Haid”.
Berkata Nabi : "kamu adalah anak-anak perempuan Adam.
Kamu akan ditimpa perkara yang sama ditimpa kepada anak-anak perempuan Adam[1]”.


Hadis yang dinukilkan ini, kita akan dapati bahawa Rasulullah SAW amat bijak dalam menggembirakan hati Aisyah yang sedang menangis ekoran kedatangan Haid yang sudah pasti membantutkan peluang beliau untuk menunaikan haji bersama Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW sedar disebalik kesedihan yang dihadapi oleh Aisyah. Kesedihan itu berpunca, Aisyah tidak sedar bahawa kedatangan Haid merupakan perkara lumrah bagi semua manusia yang bernama Perempuan.

Justeru, bagi menghilangkan kesedihan tersebut, Rasulullah SAW bertindak menyebut tentang asal kejadian perempuan yang tidak boleh lepas dari kedatangan Haid. Asal kejadian ini, bukanlah perkara yang hanya menimpa kepada Aisyah sahaja, bahkan menimpa seluruh perempuan di atas muka bumi Allah SWT, sejak dari zaman nabi Adam, hinggalah ke akhir dunia.

Nah !! kita renungi hadis ini. kita akan dapati, kesedihan yang dihadapi oleh Isteri tidak selayaknya dibiarkan mereka terus menerus dengan kesedihan. Sebagai suami yang baik, sebarang kesedihan yang diketahui, hendaklah difikirkan cara dan kaedah bagi memberhentikan kesedihan tersebut.

Kesedihan yang menimpa isteri, jika dibiarkan, dibimbangi menghasilkan masalah di masa akan datang. Apabila sesuatu masalah tidak diselesaikan dengan segera, menyebabkan di masa akan datang, apabila masalah lain akan menimpa, pasti isteri tersebut akan menghadapi masalah yang bertimbun-timbun.

Apabila sudah banyak masalah yang sudah dihadapinya, memungkinkan mereka akan ditimpai masalah psikology jiwa yang juga memungkinkan berlaku berbagai-bagai kemungkinan yang tidak diingini. Seperti mereka akan susah hendak senyum. Susah hendak gembira. Tidak agrasif dalam bertindak dan sebagainya. semuanya berpunca dari permasalahan Psikology jiwa yang bermula dari kesedihan yang tidak diselesaikan.

Justeru, sebagai suami yang baik. Jadikan hadis ini sebagai panduan bagi mendapatkan kasih sayang antara suami Isteri yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi, jika kaedah menyelesaikan masalah tersebut digunakan cara yang romantik, kata-kata manis, ucapan-ucapan memuji yang sudah pasti dapat menghasilkan natijah kebahagiaan dalam mengharungi lautan rumahtangga yang kadangkala tenang dan kadangkala bergelora.



Sumber dari :

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com


Nukilan,
Zisma 10.54 a.m. 280610
Related Posts with Thumbnails